Terjemah bantah Bajet 2013 pada himpunan 3 Nov

Harakahdaily

Muhammad Faizal, 04 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, anak muda di seluruh negara perlu menyeetai himpunan Pakatan Rakyat pada 3 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau yang ditemui Harakahdaily juga turut meminta Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) atau "R" juga turut hadir memberi sokongan.

"Gabungan R bukan sahaja dari Kelantan, malah Terengganu, Sabah dan Sarawak juga boleh melibatkan diri pada perhimpunan tersebut tanda sokongan kita untuk suatu perubahan besar negara ini.

"Inilah satu himpunan untuk kita menunjukkan sokongan padu kita kepada Pakatan Rakyat yang mana satu perubahan demi kebaikan golongan anak muda akan terlaksana apabila kemenangan milik kita pada pilihanraya umum nanti," jelasnya yang juga AJK Pemuda PAS Malaysia.

Beliau yang mengulas Bajet 2013 pada kali ini sudah menghala kepada golongan anak muda adalah satu belanjawan yang bersifat sementara.

"Belanjawan kali ini lebih fokus kepada golongan anak muda dan ia hanyalah bersifat nikmat sementara bukannya berterusan.

"Bantahan terhadap belanjawan bersifat sementara itu harus kita terjemaahkan pada perhimpunan tersebut, kita tidak mahu anak muda dilayan untuk nikmat sementara tetapi apa yang kita mahukan adalah sebuah kerajaan yang menitik berat masa depan anak muda untuk selamanya," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus turut menegaskan agar anak muda ataupun sesiapa sahaja yang ingin turut serta pada perhimpunan tersebut tidak takut dengan tohmahan mahupun ugutan yang dilakukan melalui media arus perdana milik Umno Barisan Nasional.

"Ini merupakan perhimpunan terbesar yang terakhir sebelum pilihanraya umum dan harapan saya agar semua anak muda dari PAS, DAP serta PKR di seluruh negara melapangkan diri untuk hadir.

"Kita dengar amanat yang akan diberikan oleh pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat terutama isu belanjawam 2013 serta persiapan kita bagi menghadapi pilihanraya," tambah beliau lagi.

Beliau juga turut menjangkakan satu program berkaitan dengan anak muda akan diadakan sebelum berlangsungnya program utama pimpinan Pakatan Rakyat.

Posting Komentar