BR1M tak perlu naik RM1 000

Ahmad

KOTA BHARU - Peningkatan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,000 setiap orang dapat membantu mengurangkan beban ditanggung rakyat terutama apabila kadar harga petrol dan diesel kini dinaikkan.

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna (Kelantan), Ahmad Othman berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan bawahan dapat mengimbangkan kitaran ekonomi mereka mengikut perkembangan semasa.

“Malaysia mempunyai 40 peratus golongan berkemampuan dan mungkin kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen tidak langsung menjejaskan ekonomi mereka, namun selebihnya 60 peratus lagi adalah golongan berpendapatan rendah, kurang berkemampuan dan juga miskin tegar.

“Bagi yang miskin tegar, mungkin mereka tidak menggunakan kenderaan, maka kenaikan harga minyak tidak menggugat ekonomi mereka kecuali harga barang juga turut dinaikkan, apa yang menjadi kebimbangan adalah kepada golongan pertengahan ini, mereka menggunakan kenderaan sebagai salah satu medium terpenting setiap hari, sama ada untuk bekerja mahupun urusan persendirian.

"Maka jika minyak dinaikkan, kita kena fikir juga dengan golongan tersebut, adakah ekonomi mereka akan seimbang, walaupun hanya melibatkan 20 sen sahaja,” katanya kepada Sinar Harian semalam, ketika diminta mengulas isu kesan kenaikan harga minyak petrol dan diesel kepada pengguna, berkuat kuasa Isnin lalu sebanyak 20 sen seliter.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil kira taraf ekonomi golongan bawahan, yang mana hampir 30 peratus daripada mereka pemaju utama perkembangan ekonomi semasa Malaysia.

Beliau berkata, jika BR1M dapat membantu meringankan beban golongan tersebut, kemungkinan besar kenaikan harga minyak tidak menjadi satu isu atau bebanan buat sesetengah masyarakat.

“Mungkin kita boleh beri BR1M sebanyak dua kali setahun, RM500 pada awal tahun dan RM500 pada hujung tahun, ia sangat membantu, bukan sahaja untuk keperluan menyara hidup tetapi ada segelintir masyarakat yang menggunakannya bagi tujuan kemasukan anak ke sekolah dan sebagainya.

“Walaupun kesan kenaikan minyak masih belum dirasai, namun saya akui menerima banyak rungutan daripadanya, apa yang kita boleh lakukan selain memberi kemudahan lain seperti BR1M dan mungkin kenaikan elaun kenderaan bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut, apa yang penting, ia tidak menjejaskan kestabilan ekonomi golongan pertengahan yang ada di negara kita.

“Walaupun mungkin peratusannya rendah, tetapi ia tetap memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat dan maju selepas ini, kita kena ambil kira semua pihak dan golongan, apa yang penting, kita dapat bantu dari segi lain pula,” katanya.

Posting Komentar