Ibrahim Ali hantar surat bercuti sebagai presiden Perkasa

April 11, 2013
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan Ibrahim seharusnya dipilih sebagai calon Barisan Nasional kerana Malaysia memerlukan lebih ramai lagi orang seperti presiden Perkasa itu kerana ianya baik untuk negara.
KUALA LUMPUR, 11 April — Datuk Ibrahim Ali akan bercuti sebagai presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkuat kuasa semalam untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Pilihan Raya 2013 yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.

Menurut Ibrahim, jawatannya itu akan dipangku oleh Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar untuk memimpin 400,000 orang ahlinya diseluruh negara.
“Saya telah menghantar surat untuk bercuti daripada jawatan tersebut kepada Setiausaha Agung Perkasa hari ini dan saya yakin Abdul Rahman serta barisan kepimpinan sedia ada mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik kerana organisasi ini mempunyai struktur yang tersusun,” kata Ibrahim semalam dipetik dari akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia.

“Sama ada saya kembali untuk bertugas sebagai Presiden Perkasa atau tidak, bergantung kepada keadaan semasa selepas pilihan raya umum ini, tetapi buat masa sekarang, Abdul Rahman dan ahli majlis tertinggi lain akan meneruskan pentadbiran pertubuhan ini,” tambah beliau lagi.

Hujung minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan Ibrahim seharusnya dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) oleh kerana Malaysia memerlukan lebih ramai lagi orang seperti presiden Perkasa itu kerana ianya baik untuk negara.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu mahu mempertahankan kerusi disandangnya itu kerana masih banyak yang beliau mahu lakukan untuk membantu penduduk kawasan itu.
“Saya sudah sebati dengan masyarakat Pasir Mas dan banyak lagi agenda yang perlu dilakukan, lagipun keadaan kesihatan saya masih terkawal dan tentunya saya tidak mahu mensia-siakannya,” katanya lagi.

Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya 2008 diatas tiket PAS di kerusi tersebut dan menewaskan calon BN Datuk Rosdi Mahmud dengan majoriti 8,991 undi.
Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider baru-baru ini mengatakan gabungan pemerintah tersebut masih belum pasti untuk meletakkan Ibrahim sebagai calon di kerusi parlimen Pasir Mas.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 5 Mei sebagai tarikh Pilihan Raya 2013 dan 20 April sebagai hari penamaan calon.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi negeri dipertandingkan pada pilihan raya kali ini yang dianggap sebagai paling sengit dalam sejarah negara.The Malaysian Insider

Posting Komentar