Sukar untuk menidakkan dalam industri ini artis terutama bakat yang baru hendak berjinak-jinak serta membina nama tidak ketinggalan menjadi mangsa usikan nakal golongan tertentu dan mungkin silap langkah akan kecundang sebelum sempat menggapai impian.
Namun, bagi pendatang baru yang tidak pernah meletakkan sasaran untuk berlakon secara serius, Ezzaty Abdullah, 23, dia tidak terfikir akan mudah goyah meskipun mengakui pernah sekali dua mengalami situasi cuba digoda pihak tertentu.
Sudah faham perkara sebegitu banyak kebarangkalian akan terjadi apatah lagi dengan pendatang baru sepertinya. Katanya dia tidak mahu terlalu obses, namun tidak juga mahu sambil lewa kerana apapun, pendekatan secara baik itu masih keutamaannya.
“Saya suka berkawan dengan sesiapa juga, namun pada masa sama tidak mahu keramahan saya disalah-anggap kerana bila saya benar-benar mahu berkawan, saya ikhlas.
“Tidak dinafikan, ada juga penerbit yang cuba rapat dengan saya tapi itulah, saya memang akan menolak lembut kerana kemesraan saya cuma atas dasar profesional ketika bekerja,” katanya.
Posting Komentar