Dua Rakyat Malaysia Jadi Tebusan - ALGIERS, Algeria : Dua rakyat Malaysia merupakan antara 41 pekerja asing yang dijadikan tebusan oleh kumpulan militan Islam di sebuah kompleks kemudahan gas di In Amenas di gurun Sahara, selatan Algeria.
Dalam perkembangan terbaharu insiden tersebut semalam, seorang pegawai keselamatan Algeria berkata, sekurang-kurangnya 20 warga asing telah melarikan diri dari loji gas asli berkenaan yang terletak di gurun Sahara.
Media tempatan sebelum ini melaporkan sekumpulan militan Islam menjadikan puluhan pekerja loji gas tersebut sebagai tebusan.
Pegawai tersebut memberitahu, mereka yang berjaya melarikan diri termasuk rakyat Amerika Syarikat dan warga Eropah. Namun, beliau enggan mengulas lanjut.
Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan militan menyerang kompleks gas itu yang terletak 1,300 kilometer dari sini dan menjadikan berpuluh-puluh pekerja asing sebagai tebusan.
Loji gas tersebut dikepung oleh tentera Algeria dengan situasi kini dalam keadaan tegang.
Menurut beberapa laporan, insiden tebusan itu adalah sebagai tindakan balas kerjasama Algeria dengan tentera Perancis yang campur tangan dalam konflik di Mali.
Dalam perkembangan terbaharu, beberapa militan Islam memberitahu, helikopter-helikopter tentera Algeria menyerang kompleks gas berkenaan dengan menyebabkan 35 tebusan warga asing dan 15 militan terbunuh.
Setakat ini, pemerintah Algeria enggan mengesahkan laporan tersebut.
Nasib rakyat Malaysia itu masih belum diketahui.
Kompleks gas tersebut dikendalikan oleh syarikat minyak BP dari Britain, Statoil milik Norway dan firma Algeria, Sonatrach. – Agensi
Posting Komentar